KEMASUKAN PELAJAR BARU TELAH PUN DITUTUP.
MAKLUMAN
Waktu Solat
PESANAN ATAU PANDANGAN.
Saturday, December 27, 2008
PENGERUSI-PENGERUSI PUSAT PENGAJIAN PONDOK.
Yang Berhormat Allahyarham Dato’ Hj. Ismail Bin Yusoff.
(1/4/87 – 9/7/88) Mufti Kerajaan Kelantan
Yang Berhormat Allahyarham Dato’ Hj. Mohammad Bin Che Wok.
(1/12/88 – 17/6/90) Mufti Kerajaan Kelantan
Yang Berhormat Dato’ Hj. Hasbullah Bin Mat Hassan.
(1/7/90 – Hingga sekarang) Mufti Kerajaan Kelantan
Yang Berhormat Dato Hj. Mohamad Shukri Bin Mohamad.
Posted by pondokmoden at 10:51 PM 0 comments
PENGENALAN:PONDOK MODEN
PENUBUHAN DAN PERKEMBANGAN
Pusat Pengajian Pondok didirikan di atas sebidang tanah seluas 56 ekar di mana penubuhannya atas kesedaran semakin berkurangan alim ulama` dari masa ke semasa. Cadangan penubuhan ini bermula pada tahun 1981 setelah beberapa kajian dan perbincangan diadakan. Yayasan Islam Kelantan (YIK) telah diamanahkan untuk merealisasikan penubuhan ini.
TUJUAN ASAL PENUBUHAN PONDOK MODEN
1.Melahirkan ulama` yang mampu menghayati isi kandungan kitab lama di dalam pelbagai bidang ilmu.
2.Melahirkan tokoh-tokoh mubaligh, pendakwah, imam, qadhi dan sebagainya.
3.Melahirkan cedikiawan Agama yang memahami perkembangan ilmu pengetahuan dan kemasyarakatan.
4.Melahirkan bakal penyambung tugas-tugas ulama yang terdahulu.
5.Mengekalkan pengajian cara pondok dan membuat penyelarasan dengan pondok-pondok lain di negeri Kelantan serta mengeluarkan sijil-sijil melalui peperiksaan rasmi.
Mengelola dan mengadakan kursus umum dan vokasional serta pertanian, ternakan dan sebagainya.
Posted by pondokmoden at 10:29 PM 0 comments
Thursday, December 25, 2008
Masjid kita kaku, tidak mesra pelanggan
Islam adalah gabungan kekuatan keruhanian dan kebendaan. Ia bukan agama kerahiban yang hanya duduk bersila berzikir dan melupakan tanggungjawab menjadi khalifah atas muka bumi ini. Juga, bukan agama yang memisahkan dunia dan akhirat, sehingga kegiatan dunia dibicara atau dilaksanakan dalam rupa yang berasingan dengan akhirat. Tidak! sama sekali tidak!
Masjid adalah pusat umat Islam. Masjid dalam Islam mestilah melambangkan kesyumulan atau keluasan Islam itu sendiri. Masjid mesti berfungsi untuk membangunkan umat di sudut keruhanian dan fizikalnya. Memasuki masjid bererti melangkah ke kawasan yang melambangkan ketulusan, kemesraan, kerahmatan dan kesyumulan agama ini. Sebab itu, umat Islam dalam kesibukan urusan kehidupan, mereka diperintahkan singgah lima kali saban hari di masjid demi mengambil tenaga meneruskan agenda perjuangan sebagai khalifah yang memimpin dunia ini. Maka muncullah dalam diri setiap individu muslim satu kekuatan yang luar biasa. Ia adalah gabungan antara unsur langit dan bumi, atau keruhanian dan kebendaan.ata Dr. Yusuf al-Qaradawi: “Dengan menunaikan solat berjemaah di masjid sebanyak lima kali sehari, menjadikan masjid suatu tempat yang penting dalam Islam dan kehidupan muslimin. Masjid bukannya tempat bertapa untuk golongan pendeta (yang hanya menumpukan kepada ibadah khusus), atau sudut untuk golongan menganggur, bukan juga tempat ibadat golongan darwis (ahli pertapaan). Dalam Islam tiada pendetaan atau pertapaan. Rasulullah s.a.w. bersabda kepada Abu Zar: “Kewajiban kepadamu adalah jihad kerana itulah adalah pertapaan umatku (Ibn Hibban dan al-Hakim-hadis hasan)”. Al-Qaradawi juga menyebut: “Masjid Nabi itu adalah madrasah dakwah, demikian juga ianya adalah pejabat Negara Islam. Padanya Nabi memberikan kerja bagi yang menganggur, ilmu kepada yang jahil, pertolongan kepada yang fakir, memandu urusan kesihatan dan kemasyarakatan, menyebarkan berita yang penting untuk umat, bertemu dengan para diplomat asing, mengatur tentera di medan perang juga menghantar pendakwah dan perwakilan untuk perdamaian (Al-Qaradawi, Al-`Ibadah fi al-Islam, ” m.s. 233, Beirut: Muassasah al-Risalah)
Kata seorang tokoh Islam yang terkenal di masa ini, Dr. `Imad ad-Din Khalil dalam karyanya Dirasah fi al-Sirah ketika mengulas tentang fungsi masjid yang di asaskan oleh Rasulullah s.a.w.: “Masjid bukannya tempat ibadat dan solat semata-mata, bahkan kedudukannya sama seperti kedudukan Islam itu sendiri, mencakupi berbagai sudut al-din, politik dan kemasyarakatan” (m.s. 149 Beirut: Dar al-Nafais)
Malangnya, masjid-masjid kita kebanyakannya masih gagal berfungsi sedemikian rupa. Di sudut kerahmatan dan kemasyarakatan umpamanya, banyak masjid kita masih tidak mesra remaja dan kanak-kanak. Golongan ini sentiasa rasa kurang selesa atau bimbang dengan layanan orang-orang masjid kepada mereka. Takut-takut dimarahi jika tersilap. Jika tidak pun, mereka kurang diberi layanan yang sewajarnya. Lebih teruk lagi ada masjid yang membuat penempatan khas untuk kanak-kanak ketika solat. Mereka dijarak jauhkan dari saf orang dewasa. Kadang kala jauhnya itu pula diselang beberapa saf. Ditulis pula satu papan tanda ‘saf kanak-kanak’.
Ini semua berpunca dari “khurafat” yang disandar kepada fekah kononnya jika kanak-kanak belum berkhatan bersentuhan dengan orang dewasa maka batallah solat. Sebabnya di bawah ‘kulit’ kanak-kanak itu ada najis kerana belum bersunat. Cubalah tanya orang-orang tua, atau ustaz yang mengajar sedemikian rupa, apakah dalam perut orang dewasa tidak ada najis? Atau apakah jika seseorang ada nanah di bawah kulitnya, maka solatnya tidak sahnya? Lebih lucu dari itu ada yang menyatakan boleh menyebabkan terbatalnya keseluruhan saf kerana ‘jangkitan sentuhan’ kanak-kanak. Fatwa seperti ini sebenarnya tidak dinilai dengan penghujahan dalil dan kewarasan akal.
Ketika Ibn Abbas masih kanak-kanak, Rasulullah s.a.w. bersolat dan memegang telinga atau kepala Ibn Abbas agar bersolat di tepi baginda. Kata Ibn ‘Abbas: Rasulullah bangun bersolat malam. Aku berdiri di sebelah kiri baginda. Baginda memegang kepalaku lalu menjadikan aku berada di sebelah kanan baginda (Riwayat al-Bukhari). Dalam hadis Anas: “…Rasulullah berdiri untuk solat. Aku bersaf dengan seorang budak yatim di belakang baginda. Sementara wanita tua berada di belakang kami”. (Riwayat al-Bukhari). Adapun hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud yang menyatakan Rasulullah menjadikan saf lelaki dewasa di hadapan kanak-kanak, hadis itu daif dari segi sanadnya.
Kata al-Syeikh Nasir al-Din al-Albani: “Adapun menjadikan saf kanak-kanak di belakang lelaki, aku tidak dapati melainkan hadis yang daif ini sahaja. Ia tidak dapat dijadikan hujah. Tidak mengapa kanak-kanak berdiri dalam saf sebelah lelaki dewasa jika saf masih luas. Solat anak yatim bersama Anas di belakang Rasulullah s.a.w. menjadi hujah dalam masalah ini. (Al-Albani, Tamam al-Minah, 284, Riyadh: Dar al-Rayah).
Hasil lain dari kecelaruan ini, ada orang dewasa yang sanggup menarik kanak-kanak yang sedang bersolat keluar dari saf kerana dia nak masuk saf. Kemudian disuruh budak itu ke saf belakang. Akhlak buruk ini menjadikan kanak-kanak berjiwa lemah ketika berada di masjid. Sementara orang dewasa yang lewat datang dan menarik kanak-kanak keluar itu pula terbiasa dengan sikap buruk sebagai seorang yang datang lewat lalu merampas tempat orang yang lebih awal.
Ada juga pihak masjid tidak suka kanak-kanak terlalu ramai ke masjid. Bimbang nanti mengganggu keheningan jamaah. Dukacita sikap yang demikian tersimpan dalam perasaan sesetengah orang. Ini kerana sesetengah kita lebih ingin jaga warna kapet baru dari berkempen mendapat jamaah baru.
Dalam hadis Nabi s.a.w, baginda bersabda: “Aku mendirikan solat (sebagai imam) dan aku berhasrat ingin memanjangkannya. Tiba-tiba aku mendengar tangisan bayi, maka aku mensegerakan solatku kerana aku tidak suka membebankan ibunya” (Riwayat al-Bukhari). Lihatlah sikap mesra pelanggan yang ditunjukkan oleh baginda. Maka tidak hairan, masjid di zaman menjadi tempat terpautnya hati setiap generasi. Hadis ini juga memberi maksud imam mesti meringankan solatnya, jika makmum ramai yang bertugas di belakangnya.
Demikianlah Nabi s.a.w menjaga perasaan ahli jamaahnya. Adapun kita, jika ada anak yang menangis, ibunya pasti dipandang sinis. Maka jangan hairan jika kanak-kanak atau remaja merasai lebih diberi layanan mesra ketika berada di pusat-pusat hiburan, dibandingkan jika berada di masjid. Kemudian kita ‘bising’ apabila jenerasi muda tidak minat dengan masjid, atau tidak selesa di masjid.
Di sudut kesyumulan Islam, pemikiran ‘sekular’ masih terpalit baunya dalam gaya fikir kebanyakan kita. Pengajaran di masjid masih terikat dengan beberapa mata pelajaran tertentu sahaja, yang dianggap hanya itulah yang berkait dengan agama. Selainnya, tidak diberi ruang di dalam masjid. Maka hanya tauhid, fekah, tafsir, tasauf dan seumpamanya diajar di masjid. Itupun sebahagiannya masih lagi menggunakan pendekatan lama seakan pendengarnya datang dari beberapa kurun yang lepas. Soalannya, mengapa tidak mata pelajaran akademik moden seperti sains, matematik, geografi juga diajar dalam masjid-masjid?! Tidakkah agama itu merangkumi dunia dan akhirat. Jika ustaz fekah boleh mengajar dalam masjid, mengapa ‘ustaz’ sains tidak?! Fekah berkhidmat untuk umat dalam amalan mereka. Tanpa mengetahui sains juga, banyak fatwa moden tidak dapat dirumuskan!. Tidakkah generasi kita yang mempelajari sains dengan penuh keimanan boleh menjadi benteng kepada umat?.
Fungsi masjid sepatutnya lebih luas. Kata ‘Aisyah r.a: “Suatu hari RasululLah s.a.w. berada di pintu bilikku, ketika itu orang–orang Habsyah sedang bermain di dalam masjid. Baginda melindungiku dengan selindangnya, aku pula melihat kepada permainan mereka”. (Riwayat al-Bukhari). Dalam riwayat lain disebut permainan tersebut ialah permainan senjata. Sikap tidak membantah Nabi s.a.w terhadap permainan mereka menunjukkan perbuatan Habsyah mengadakan permainan senjata dalam masjid adalah sesuatu yang diizinkan. Demikian juga baginda tidak membantah ‘Aisyah melihat mereka, menunjukkan wanita boleh melihat pertunjukan permainan yang dilakukan oleh lelaki. Ini semua menunjukkan bahawa masjid pada zaman Nabi s.a.w. tidak kaku seperti kita.
Justeru, jika masjid memperuntukan kelas-kelas akademik percuma, maka para pelajar kita akan terasa kesyumulan agama ini. Di samping untuk peperiksaan, ia mendidik mereka lebih berdisplin dan ingatkan ALLAH mengenai ilmu yang dipelajari. Ia mampu menjadikan guru yang mengajar lebih mengingati ALLAH mengenai tanggungjawab dan kaitannya dengan Islam. Ini kerana semuanya beroperasi dalam masjid. Jika kelas-kelas tambahan percuma dalam pelajaran-pelajaran tersebut diberikan oleh masjid dan di dalam masjid pula, maka anak-anak akan dihantar oleh ibubapa ke masjid. Lalu hati mereka dan ibubapa mereka akan dekat dengan masjid dan sentiasa mengenang masjid. Waktu solat, mereka akan bersolat. Jika mereka ingin melakukan sesuatu yang salah, mereka teringat mereka berada dalam masjid. Maka makmurlah masjid dan berfungsilah peranannya.
Jika tiada ruang antara maghrib dan isyak kerana kuliah-kuliah agama yang formal. Masjid kita masih banyak waktu kosong antara zohor dan asar dan antara asar dan maghrib. Duit masjid yang ditabungkan orang itu, bukan sekadar untuk dipaparkan di papan kenyataan tentang peningkatan jumlahnya. Sebaliknya untuk dibuktikan fungsinya dalam membangunkan Islam yang syumul ini.
Banyak aktiviti masyarakat muslim sepatutnya masjid menjadi pusatnya. Kempen penjagaan alam sekitar, kempen hak-hak wanita, kempen pembinaan ekonomi muslim dan berbagai lagi patutnya dikepalai oleh pihak masjid. Anak makmun atau jemaah yang mempunyai berbagai kegiatan dan aktiviti boleh memanfaatkan masjid. Selagi tidak bercanggah dengan syarak, masjid boleh dijadikan penggerak kepada sebarang aktiviti yang bersifat umat dan membantu membangunkan tamadun umat. AJK masjid pula jangan jadikan masjid sebagai syarikat sendirian berhad. Masjid untuk semua.
Dr. Mustafa as-Siba`i dalam menyebut pembinaan Masjid Nabawi serta fungsi masjid berkata: “Apabila Rasulullah s.a.w. sampai ke Madinah, maka kerjanya yang pertama ialah membina padanya masjid. Ini menunjukkan kepentingan masjid dalam Islam …apatah lagi bagi masjid itu mesej kemasyarakatan dan keruhanian yang besar kedudukannya dalam kehidupan muslimin. Masjidlah yang menyatupadukan mereka, mendidik jiwa, menyedarkan hati dan akal, menyelesaikan masalah dan di masjidlah dizahirkan kekuatan dan prinsip mereka.
Sejarah masjid dalam Islam telah membuktikan bahawa daripada masjid bergeraknya tentera Islam memenuhi bumi dengan hidayah Allah. Daripada masjid juga diutuskan obor cahaya dan hidayah untuk muslimin dan selain mereka. Di masjidlah bermula subur dan berkembangnya benih ketamadunan Islam. Tidaklah Abu Bakr, `Umar, Uthman, `Ali, Khalid, Sa`ad, Abu `Ubaidah dan seumpama mereka, yang merupakan tokoh-tokoh agung sejarah Islam melainkan para penuntut di madrasah Muhammadiyyah (sekolah Rasulullah s.a.w). yang bertempat di Masjid Nabawi…jadikanlah masjid kembali sebagai tempat utama dalam semua institusi kemasyarakatan kita, jadikanlah masjid kembali memainkan peranannya dalam mentarbiah manusia, melahirkan tokoh, membaiki kerosakan masyarakat, memerangi kemunkaran dan membina masyarakat atas asas taqwa dan keredhaan Allah” (Al-Siba’i, Al-Sirah an-Nabawiyyah: Durus wa `Ibar, m.s. 74-75 Jordan: al-Maktab al-Islami).
Kuliah-kuliah di masjid juga mestilah ditingkatkan ke tahap yang sesuai dengan perkembangan masyarakat kita. Fekah yang payah dan menyusah hendaklah dihindari. Jadikanlah Islam itu mudah dan praktikal. Bersesuaian dengan nas-nas Islam yang bersifat demikian.
Demikian pengajaran dalam masjid mesti memberi kesan kepada kehidupan insan yang ke masjid. Jangan ustaz asyik membahaskan tentang bermacam pembahagian air dengan berbagai pecahannya yang bukan-bukan, sehingga berbulan masih tajuk mengenai air itu dan ini. Belum pun masuk tajuk solat dan seterusnya. Malangnya dalam masa yang sama tandas atau bilik air masjid dipenuhi dengan bau dan kekotoran yang tidak melambangkan kebersihan dalam Islam. Islam bukan sahaja menyuruh kita bersih ketika dalam solat, namun juga di luar solat.
Demikian juga isi pengajaran hendaklah dalam bentuk yang menarik generasi baru. Saingan luar masjid yang menarik manusia moden terlalu. Pusat-pusat hiburan yang lain menggamit generasi muda. Kempen-kempen ke masjid mestilah segar dan baru. Untuk itu, kita perlukan pihak pengurusan yang segar dan mampu membawa manusia ke masjid. Jika yang sedia ada tidak mampu maka, mereka perlu membina peningkatan diri, atau menarik diri. Pihak yang kerajaan amanahkan untuk memantau dan membina kekuatan masjid juga mesti segar megar. Jika tidak mampu, mungkin mereka kena segera tukar. Jika tidak, kita ini secara tidak langsung menghalang orang datang ke masjid.
Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 114: “(maksudnya)Dan siapakah yang lebih zalim dari mereka yang menghalangi masjid-masjid Allah untuk disebutkan nama Allah di dalamnya, dan ia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? Mereka yang demikian, tidak sepatutnya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dalam keadaan mereka yang takutkan Allah. Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar”.
Kita mungkin tidak menghalang manusia mendekati masjid. Namun tindakan yang tidak seimbang dengan fungsi masjid menjadikan manusia terhalang secara tidak langsung kerana kita. Generasi muda pelapis pembinaan tamadun umat. Jumlah mereka mesti lebih ramai di masjid dari di pusat-pusat ‘lamunan’. Jangan sampai masjid kita hanya jadi kelab orang pencen sahaja. Sedangkan orang muda berkelab di tempat lain.
Artikel ini dipetik dari:: http://drmaza.com/arkib_utusan/?p=11#more-11
Tanpa ubahsuai bagi mengekalkan keaslian artikel ini.
Posted by pondokmoden at 7:57 AM 0 comments
SEJARAH SISTEM PONDOK DIKELANTAN
Sejarah Sistem Pondok
Dalam sejarah pendidikan Islam di Malaysia, Kelantan merupakan salah sebuah negeri yang terkenal dengan perkembangan pendidikan yang pesat yang telah melahirkan ulama’-ulama’ yang berwibawa.
Menurut sumber-sumber yang boleh dipercayai, pendidikan Islam telah bermula pada akhir abad ke 18.Orang yang paling awal menyampaikan pendidikan Islam ialah Tuan Shyeikh Haji Abdul Halim. Beliau mengajar di istana-istana untuk anak-anak raja dan di surau-surau untuk orang ramai .+Murid-muridnya terdiri dari penduduk tempatan negeri Kelantan dan ada juga yang datang dari luar Kelantan bahkan dari luar Tanah Melayu seperti Thailand.
KEMUNCULAN SISTEM PONDOK DAN PERKEMBANGANNYA
Sistem pengajian pondok di Tanah Melayu pula mulai muncul pada pada permulaan abad ke 20, ada yang berpendapat bahawa ia wujud sejak abad ke 19 lagi. Sistem ini dipercayai berasal dari Pattani, Selatan Thailand. Ada juga pendapat mengatakan ia berasal dari Acheh Indonesia.
Di Tanah Melayu, Kelantan dipercayai di antara negeri yang mula-mula mewujudkan sistem pondok. Pondok pertama yang didirikan di Kelantan ialah pada tahun 1820 M oleh Tuan Guru Haji Abdul Samad bin Abdullah (Tok Pulai Chondong) Selain dari pondok Pulai Chondong yang didirikan di Kelantan sebelum 1910 ialah Pondok Tok Bachok pada tahun 1900, Pondok Haji Abdul Malik Tumpat pada tahun 1907, Pondok Haji Yusuf Pulau Ubi, Geting Tumpat tahun 1908, Pondok Kubang Pasu Kota Bharu pada 1900, Pondok Sungai Budor, Pondok Kampung Banggol, Pondok Tuan Padang dan Pondok Tok Semian yang diasaskan oleh Haji Wan Abdul Samad bin Mohd Salleh atau lebih dikenali dengan gelaran Tuan Tabal.
Sistem ini mula berkembang pesat pada tahun 1909 sehingga Perang Dunia Kedua.Antara tahun 1910 hingga 1045 M boleh dikatakan zaman keemasan dalam perkembangan pengajian pondok di Kelantan.Pondok pada masa itu telah mencapai kemajuan yang gemilang dengan lahirnya ulama’-ulama’ terkenal yang mengharumkan nama negari kelantan. Ada sesetengah pondok pada masa itu mempunyai penuntut lebih dari seribu orang.
Hal ini tidak dapat disangkal, dalam konteks masyarakat Melayu tradisi, pengajian pondok merupakan institusi pengajian agama yang amat disanjung tinggi. Ibu bapa menaruh kepercayaan penuh kepada sistem ini kerana pelajar lepasan pondok amat dihormati dan mereka adalah alim ulama’ yang akan membimbing masyarakat.
Pada sekitar tahun 1900, Pendidikan pondok telah mendapat persaingan dari sekolah berbentuk sekular yang ditaja oleh British. Sekolah sekular ini telah dibing di Kota Bharu pada tahun 1904. British telah menggunakan berbagai cara untuk menarik minat rakyat ketika itu kepada sekolah sekular. Antaranya dengan mengatakan sekolah berbentuk pondok itu adalah primitif kerana mata pelajarannya tidak sama dengan sekolah Inggeris. Walau bagaimanapun, usaha-usaha British tidak begitu berjaya. Masyarakat Islam ketika itu lebih berminat kepada pengajian agama yang berbentuk pondok.
Antara pondok yang mendapat sambutan `dan mempunyai murid yang ramai selepas tahun 1930 ialah Pondok Terusan Pasir Tumbuh yang ditubuhkan pada tahun 1954, Pondok Bunut Payung, Pondok Lubuk Tapah, Pondok Sungai Durian dan Pondok Kubang Bemban.
Walaupun pada tahun 1950 – 1970 an, sistem pondok masih mendapat sambutan dari orang ramai, akan tetapi pada hakikatnya selepas tahun 1945, ia merupakan zaman kemalapan dalam sistem pengajian pondok. Dengan ini dapatlah dirumuskan bahawa selepas kedatangan Jepun, pengaruh pondok telah mengalami kemerosotan sedikit demi sedikit.
Keadaan ini semakin berterusan hingga setelah negara mencapai kemerdekaan. Terdapat juga pondok-pondok yang telah ditutup dan ada juga yang telah menukar sistem pengajiannya kepada sistem sekolah. Contohnya pada tahun 1958, Pondok Bunut Payung, Kota Bharu telah diubahsuai menjadi Madrasah Islamiah dan Pondok Haji Mohd Noor Kampung But menjadi Madrasah Saadah al-Qura pada tahun 1970.
Antara sebab utama yang membawa kemunduran institusi pondok ialah telah timbul perubahan-perubahan di dalam perkembangan pendidikan Islam di Kelantan. Ini kerana pada masa itu telah muncul sekolah-sekolah Agama (Arab) Majlis Agama Islam (MAIK), sekarang telah diambil alih oleh Yayasan Islam Kelantan (YIK) yang menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa pengantar di bawah Kerajaan Negeri yang lebih teratur dan selesa daripada pondok.
Penubuhan sekolah-sekolah Agama ini telah mendapat sokongan yang baik dari masyarakat. Ekoran daripada itu, pihak MAIK sentiasa mempertingkatkan usaha dalam bidamg pendidikan dan kemuncaknya telah tertubuhnya Yayasan Pngajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK) pada 1 oktober 1965 M.
Institusi ini telah melahirkan ramai cerdik pandai yang terkenal di rantau ini. Pada tahun 1981, Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan telah diserapkan ke dalam Universiti Malaya dan dikenali dengan Akademi Pengajian Islam.
Namun begitu, kemunculan sistem pendidikan moden pada hari ini, bukanlah bererti ia akan menggugat sistem pengajian pondok secara keseluruhannya. Apa yang jelas sistem pondok ini masih mendapat tempat dalam masyarakat. Terdapat segelintir pendokongnya tetap mempertahankan sistem ini sama ada dengan mengekalkan pondok-pondok yang masih ada ataupun menubuhkan sistem pengajian ala pondok dengan menggabungkan dua sistem pendidikan, iaitu sistem persekolahan dan sistem pengajian pondok.
Di antara faktor kemerosotan sistem pengajian pondok ialah kerana perubahan politik negara ini, persaingan dengan sistem pendidikan moden, perubahan sosio-budaya masyarakat dan faktor dari dalam pondok itu sendiri, seperti tiada pengganti yang berwibawa selepas ketiadaan pengasasnya.
Walau bagaimanapun pusat pengajian pondok tetap utuh sebagai sebuah institusi pendidikan Islam sehingga sekarang. Kini terdapat beberapa buah pondok yang masih mampu mempertahankan identiti pengajian secara tradisional sehingga sekarang, antaranya seperti Pondok Pasir Tumbuh Kota Bharu, Pondok Sungai Durian Kuala Krai dan Pondok Lubuk Tapah Pasir Mas.
Perkembangan terakhir menunjukkan bahawa pusat pengajian pondok telah memasuki satu era ke arah kebangkitan semula untuk mengembalikan fungsinya sebagai sebauah institusi pendidikan yang berkesan. Atas inisiatif Tuan-Tuan Guru dan pofesional, pada tahun 1995 satu badan khas, iaitu Pusat Pembangunan Pondok Berhad (PPPB) telah ditubuhkan di kelantan dengan tujuan untuk membantu membangunkan pondok-pondok yang bernaung dibawahnya dari sudut pentadbiran pondok, infrastruktur dan guru-guru.
Dipetik dari:http://epondok.wordpress.com/2008/10/21/sejarah-awal-pengajian-pondok/
Posted by pondokmoden at 7:41 AM 0 comments
Kisah Kembara Ibnu Battutah Dipersoalkan
Ibnu Battutah menjadi terkenal kerana karya mengenai kembaranya yang dikenali dengan nama Rihlah Ibnu Battutah. Dalam tulisan tersebut dicatatkan sejarah atau kisah pengembaraan dan pelayaran beliau ke berbagai negara.
Di samping menghargai karya tersebut, kita juga perlu akur bahawa terbukti dalam beberapa hal karya tersebut kurang teliti dan amanah. Apatah lagi Ibnu Battutah bukan terdiri di kalangan ahli periwayataan yang dipegang. Banyak perkara yang disebutkan dalam karya tersebut mendedahkan adanya unsur ketidaktelusan dalam menghidangkan sesuatu kisah.
Justeru kita dapati, catatan tersebut tidak dianggap sebagai rujukan muktabar dalam bidang sejarah. Ramai pengkaji dan muhaqqiq mengkritik dan membongkarkan penyelewengan fakta yang terkandung dalamnya. Antara muhaqqiq Hasan al-Saih ketika memberi aluan kepada kitab Taj al-Mafriq fi Tahliyyah `Ulama’ al-Masyriq menyatakan bahawa Ibnu Battutah kemungkinan hanya mendengar nama tokoh-tokoh ulama tertentu di negeri-negeri yang dilawati, lalu dia menyebut nama mereka seakan-akan dia benar-benar berjumpa sekalipun dia tidak bertemu sendiri dengan mereka. Sebaliknya sekadar mengambil cerita daripada orang lain.
Kisah kembara Ibnu Battutah mempunyai banyak cerita dongeng yang digambarkan seakan Ibnu Battutah melihatnya sendiri. Antaranya cerita dia melawat beberapa pulau dan negeri yang wanita-wanitanya hanya mempunyai satu buah dada.
Dalam buku Hayat Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah, penulisnya iaitu tokoh ulama Syam terbilang Muhammad Bahjah al-Baitar menyatakan bahawa buku kembara Ibnu Battutah penuh dengan cerita pelik lagi tidak masuk akal dan palsu. Cerita ini diambil daripada orang ramai yang dia dengar di negeri-negeri yang dikunjungi, tanpa sebarang penilaian.
Umpamanya beliau menyatakan di tengah Masjid Umawi di Damsyik ada makam Nabi Zakaria a.s., sedangkan yang diketahui ia adalah makam Yahya a.s. Juga dakwaannya kononnya dia membaca di dalam Fadail al-Dimasyq daripada Sufyan al-Thauri bahawa solat di Masjid Damsyik sama dengan pahala 30,000 solat.
Kita tahu bahawa perkara seperti ini tidak boleh dibuat dengan andaian akal. Orang yang seperti Sufyan al-Thauri tidak akan membuat dakwaan seperti ini yang tidak mempunyai sebarang dalil. Dakwaan ini telah melebihkan Masjid Damsyik ke atas Masjid Nabi dan Masjid al-Aqsa. Kedua-dua masjid tersebut pun tidak sampai ke darjat yang seperti ini. Mustahil tokoh hadis dan warak seperti Sufyan al-Thauri membuat dakwaan ini, melainkan satu pembohongan terhadapnya. Apatah lagi Masjid Damsyik belum wujud pada zaman Nabi Muhammad s.a.w.
Bahkan Ibnu Battutah mengakui fadilat bernazar untuk kubur-kubur utama jika seseorang dalam kesusahan dipukul angin kencang di tengah lautan. Sedangkan dalam keadaan tersebut golongan musyrikin pun akan terus berdoa kepada Allah tanpa sebarang syirik. Malangnya Ibnu Battutah dapat menerima dan mengakui nazar yang seperti ini. Firman Allah (Surah al-Ankabut: 65): (terjemahannya): Dalam pada itu, apabila mereka naik bahtera (lalu menemui sesuatu bahaya di laut), mereka memohon pertolongan kepada Allah dengan ikhlas semata-mata kepada-Nya agama. Kemudian setelah Allah menyelamatkan mereka (naik) ke darat, mereka berlaku syirik kepada-Nya.
Ada kemungkinan ketidaktelusan itu bukan berpunca dari Ibnu Battutah itu sendiri. Barangkali telah berlaku penyelewengan terhadap tulisan beliau. Ini mungkin datang daripada penyalin semula tulisan tersebut. Jika diteliti, sebenarnya orang yang menulis buku Rihlah Ibnu Battutah yang ada di tangan kita sekarang bukanlah Ibnu Battutah sendiri.
Orang yang menulis buku tersebut ialah Ibnu Juzzi al-Kalbi, seorang penulis dari Maghribi yang memberikan pendahuluan yang panjang untuk buku tersebut. Justeru pada awal tulisannya, setelah memuji Allah, beliau telah memuji sultannya iaitu Abu Inan, pemerintah Fas, Maghribi. Beliau menyifatkan sultannya sebagai “bayangan Allah yang memanjang untuk manusia, tali Allah yang mesti dipegang, mentaatinya adalah digabungkan diri” sehinggalah beliau menceritakan bagaimana Ibnu Battutah bertemu dengan sultan tersebut.
Keraguan
Pada akhir buku tersebut beliau menyebut perkara yang benar-benar menimbulkan keraguan, iaitu “inilah apa yang aku ringkaskan daripada coretan al-Syeikh Abi Abd Allah Muhammad bin Battutah.” Kenyataan ini menunjukkan bahawa buku asal memang ditulis oleh Ibnu Battutah. Cuma yang ada di tangan kita ialah ringkasan dan suntingan. Lebih dari itu, ia juga menunjukkan bukan Ibnu Battutah yang menceritakan secara langsung kepada Ibnu Juzzi, sebaliknya beliau mengambil dari naskhah Ibnu Battutah dan meringkas atau menyuntingkannya.
Justeru tokoh pengkaji manuskrip Dr. Yusuf Zaidan menyatakan: “Bukan sesuatu yang tepat untuk menyatakan bahawa Ibnu Battutah sebagai penulis (buku tersebut)” (lihat: Dr. Yusuf Zaidan, Al-Janib al-Dablumasi fi Rihlatai: Ibnu Battutah wa Khair al-Din al-Tunusi, www.zeidan.com).
Sama ada Ibnu Juzzi al-Kalbi atau Ibnu Battutah sendiri, yang pasti buku tersebut banyak unsur ketidaktelusan faktanya. Antara ketidaktelusan buku tersebut, dakwaannya terhadap Ibnu Taimiyyah r.h. kononnya: “Ketika aku berada di Damsyik, aku menghadiri Ibnu Taimiyyah pada hari Jumaat. Ketika itu dia sedang menasihati dan mengingatkan orang ramai di atas mimbar Masjid Damsyik. Antara ucapannya: “Sesungguhnya Allah turun ke langit dunia seperti aku turun ini,” dan dia pun turun satu tangga demi satu tangga mimbar.”
Banyak pihak yang kurang cermat telah terpengaruh dengan cerita bohong ini. Mereka menjadikannya alasan untuk memfitnah Ibnu Taimiyyah kononnya beliau menyamakan Allah dengan dirinya. Sebahagian mereka mewarisi perkara ini tanpa sebarang kajian. Mereka menuduh Ibnu Taimiyyah sedangkan mereka tidak pernah pun meneliti tulisan-tulisannya yang menjadi khazanah ilmu Islam yang dipakai hampir di seluruh pusat pengajian Islam di dunia sekarang. Mereka menerima tohmahan terhadap seorang tokoh agung hanya semata disebabkan catatan seorang pengembara tanpa sebarang kepastian.
Para ulama yang ikhlas telah bangun menjawab fitnah Ibnu Battutah ini. Antaranya apa yang ditulis Muhammad Bahjah al-Baitar dalam bukunya “Hayat Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah.” Antara jawapan beliau yang panjang lebar itu:
Ibnu Battutah sebenarnya tidak mendengar perkara tersebut daripada Ibnu Taimiyyah sama sekali. Ia hanyalah satu pembohongan. Buktinya, dalam catatannya, beliau sampai ke Damsyik pada hari Khamis, 19 Ramadan tahun 726H, sedangkan Ibnu Taimiyyah telah dipenjarakan pada awal bulan Syaaban tahun tersebut, dan terus berada dalam penjara sehingga meninggal pada malam Isnin 20 Zulkaedah tahun 728H. Bagaimana mungkin Ibnu Battutah melihatnya?
Ibnu Taimiyyah tidak pernah menjadi khatib Masjid Damsyik, seperti yang didakwa oleh Ibnu Battutah. Beliau tidak pernah memberi nasihat atau kuliahnya kepada orang ramai di atas mimbar masjid tersebut. Beliau hanyalah memberikan kuliah pengajiannya di atas kerusi sahaja. Ini seperti yang disebut oleh anak-anak muridnya yang menulis sejarahnya, antara mereka Al-Imam Zahabi.
Tulisan-tulisan Ibnu Taimiyyah menafikan hal ini. Antaranya pegangan akidah Ibnu Taimiyyah yang dipetik oleh Ibnu Nasir al-Din al-Syafi’i dalan al-Radd al-Wafir: “Mazhab Salaf, para imam yang empat dan selain mereka ialah menithbatkan (menetapkan sifat Allah) tanpa tasybih (menyerupakan dengan sesuatu), menyucikan-Nya tanpa ta’til (menghilangkan fungsi sifat). Tidak boleh bagi seseorang meletakkan sesuatu pegangan atau ibarah (huraian atau rangkaian ucapan) daripada dirinya sendirinya. Bahkan dia hendaklah mengikut dalil bukan membuat bidaah.”
Di sana ada lagi jawapan-jawapan yang dinyatakan oleh Al-Syeikh Muhammad Bahjah al-Baitar, sesiapa yang inginkan pendetilan dia boleh merujuk kepada kitab tersebut.
Demikian juga Muhaqqiq Rihlah Ibnu Battutah sendiri, Dr. Ali al-Muntasir mengulas kisah tersebut: “Ini semata-mata pembohongan terhadap Al-Syeikh Ibnu Taimiyyah. Beliau ditangkap di Penjara Damsyik sebulan sebelum ketibaan Ibnu Battutah. Sejarawan telah sepakat bahawa dia dikurung di Penjara Damsyik kali yang akhir pada 6 Syaaban tahun 726H dan tidak keluar melainkan setelah meninggal. Sedang Ibnu Battutah menyebut dalam kitabnya dia sampai ke Damsyik pada 9 Ramadan.”
Setelah kita mengetahui hal ini, apakah wajar kita menerima sesuatu cerita yang mentohmah seorang Muslim, apatah lagi seorang sarjana Muslim hanya semata-mata disebabkan berita yang dipertikaikan. Lupakah kita kepada firman Allah: (maksudnya): “Wahai orang-orang yang beriman, apabila datang seseorang fasik membawa berita, maka selidikilah, agar kamu tidak menimpakan (hukuman) kepada sesuatu kaum dengan secara jahil, lalu kamu akan menyesal.”
Artikel ini dipetik dari:: http://drmaza.com/arkib_utusan/?p=11#more-11
Tanpa ubahsuai bagi mengekalkan keaslian artikel ini.
Posted by pondokmoden at 7:22 AM 0 comments
Tuesday, December 23, 2008
SALAM KENALAN
ASSALAMUALAIKUM
Blog ini diwujudkan bagi memperkenalkan peranan pendidikan pondok dalam menyebarkan ilmu islam kepada manusia.Dengan harapan agar kewujudan blog ini sedikit sebanyak dapat memberikan gambaran kepada warga Malaysia bahawa institusi pondok masih relevan walaupun menghadapi dunia moden.Dengan jenama Pondok Moden ini maka dapat mewawarkan bahawa islam sentiasa kehadapan menduhului pemikiran dan akal manusia.Semoga anda semua dapat memahami bahawa pondok yang kami wujudkan ini merupakan warisan pelapis yang akan mewarisi ilmu-ilmu islam dari warisan ulama silam.
Salam Ukhwah dari penerbit blog
Posted by pondokmoden at 4:11 PM 0 comments